fb fb fb fb fb

Jangan politikkan kes Zara Qairina - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.

Beliau menegaskan, ini termasuklah tindakan menggunakan media sosial sebagai medan penyebaran maklumat palsu yang sama sekali tidak boleh diterima.

"Soal media sosial ini, umpamanya yang terbaharu, seorang yang mengaku pakar patologi memberi gambaran palsu hingga meracuni pemikiran masyarakat dan mencetuskan kegelisahan.

"Ada pihak yang menggunakan isu kematian ini sebagai senjata politik, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mereka benar-benar bersimpati atau sekadar mahu meraih keuntungan politik," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini.

Tambah beliau, masyarakat dituntut untuk tabayyun atau menyemak kesahihan maklumat sebelum mempercayai dan menyebarkannya.

“Janganlah kematian seseorang dijadikan bahan untuk meraih keuntungan politik,” tegasnya lagi.

Datuk Seri Anwar menambah, sikap waras perlu diutamakan agar rakyat tidak terus diperdaya dengan permainan sesetengah pihak di media sosial.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM