fb fb fb fb fb

Permohonan harta intelek tempatan terus meningkat – MyIPO

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Yusnieza Syarmila Yusoff

PETALING JAYA, 18 Ogos – Permohonan pendaftaran harta intelek di negara ini terus menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan ketara daripada pemohon tempatan.

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, sebelum ini hanya 10 peratus permohonan direkodkan daripada pemohon tempatan berbanding 90 peratus pemohon asing, namun kini jumlah pemohon tempatan meningkat sehingga 40 peratus.

Sejak 2019 hingga Jun 2025, sebanyak 140,889 permohonan harta intelek diterima daripada pemohon tempatan berbanding 246,156 permohonan asing.

Dalam tempoh sama, 96,784 pendaftaran harta intelek diluluskan kepada pemohon tempatan berbanding 185,752 daripada pemohon asing.

“Kalau kita tengok pada suku kedua tahun ini berbanding tahun lalu, terdapat peningkatan 11 peratus permohonan keseluruhan dan tiga peratus permohonan tempatan. Ini menunjukkan satu kesedaran dan perkembangan positif dalam landskap harta intelek negara,” katanya.

Menurut Yusnieza, sebahagian besar permohonan melibatkan jenama atau tanda dagangan, namun terdapat peningkatan seratus peratus dalam pendaftaran karya hak cipta.

Katanya, perkembangan itu menandakan tahap kesedaran masyarakat semakin tinggi dalam industri kreatif negara.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Dialog Nasional Harta Intelek dan Kecerdasan Buatan (AI) di Petaling Jaya, hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE