fb fb fb fb fb

RUUKP 2025, lindung pengguna kredit diluluskan

Lim Hui Ying/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 yang dirangka bagi memperkukuh perlindungan kepada pengguna kredit serta menstruktur semula kawal selia sektor kredit yang kini beroperasi tanpa pengawasan khusus.

Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, sebelum diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh 24 Ahli Parlimen.

Menurut Lim, RUUKP diperkenalkan bagi menutup jurang penguatkuasaan ke atas perniagaan kredit yang sebelum ini tidak tertakluk kepada sebarang pemantauan berpusat,

Terutama, yang menyasarkan golongan rentan dan mudah terdedah kepada eksploitasi kewangan.

Pelaksanaan RUUKP turut menyaksikan penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) sebagai badan berkanun yang akan mengawal selia perniagaan berkaitan kredit secara berperingkat.

"Dengan penggubalan RUUKP pelaksanaan pengawalan industri kredit pengguna akan dilaksanakan secara berfasa di dalam fasa 1 KPKT masih kekal sebagai pengawal selia industri pemberi wang dan industri pemajak gadai" jelas beliau ketika sesi penggulungan.

Jelasnya, RUU-KP akan berfungsi sebagai akta induk yang bersifat pelengkap kepada undang-undang sedia ada yang berada di bawah bidang kuasa pelbagai agensi berkaitan, termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Fasa pertama pelaksanaan akan menyaksikan KPKT bertanggungjawab memastikan pematuhan pemberi pinjam wang berlesen terhadap perlindungan pengguna seperti yang diperuntukkan dalam RUUKP.

KPKT juga akan diberi mandat perundangan baharu untuk mengawal selia perniagaan pajak gadai patuh syariah.

Sementara itu, KPDN akan meminda Akta Sewa Beli 1967 bagi menambah baik perlindungan pengguna dan memodenkan peraturan sedia ada.

Mengulas lanjut, Lim berkata, kerajaan tidak akan menetapkan kadar faedah maksimum pada peringkat awal pelaksanaan, namun akan mengumpul data bagi penetapan dasar lebih menyeluruh dalam Fasa Kedua yang dijangka bermula pada 2028.

Fasa Ketiga, yang disasarkan bermula pada 2031, akan memberi tumpuan kepada penyatuan semua bentuk kawal selia kewangan pengguna di bawah satu entiti berpusat.

ASHRIQ FAHMY AHMAD