KUALA LUMPUR, 21 Julai - Sebanyak lapan kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 9 malam ini, dengan Seremban, Negeri Sembilan merekodkan bacaan tertinggi 156.
Berdasarkan data di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Alor Gajah, Melaka berada di kedudukan kedua dengan bacaan 154, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (152) dan Temerloh, Pahang (151).
Turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Balok Baru, Kuantan, Pahang (145), Banting, Selangor (139), Johan Setia, Selangor (133) serta Port Dickson, Negeri Sembilan (102).
Sementara itu, sebanyak 56 kawasan lain mencatatkan bacaan sederhana dengan julat antara 51 hingga 100.
Hanya empat lokasi berada pada tahap IPU baik iaitu Alor Setar, Kedah (50), Kapit, Sarawak (46), Kangar, Perlis (30) dan Langkawi, Kedah (29).
Bacaan IPU antara 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Maklumat terkini bacaan IPU boleh diperoleh di laman sesawang rasmi JAS di https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau melalui aplikasi mudah alih MyJAS EQMS.