fb fb fb fb fb

RUU Sumbangan Politik: Memorandum Jemaah Menteri dibentang September

PUTRAJAYA, 13 Ogos- Satu Memorandum Jemaah Menteri dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bulan depan bagi membolehkan Rang Undang-undang Sumbangan Politik dibentangkan pada sidang Parlimen Oktober ini.

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyebut, satu perbincangan telah diadakan bersama Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Perbincangan itu turut melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri," menurut kenyataan itu.

Beliau telah mengarahkan GIACC untuk memperhalus perkara dasar serta meminta BHEUU dan AGC menyediakan draf pentadbiran dengan mengambil kira pandangan serta contoh yang diberikan organisasi masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, beliau berkata, analisis perbandingan pemakaian undang-undang sumbangan politik dari negara-negara lain perlu dilaksanakan bagi tujuan penanda aras undang-undang itu, dan beliau menyarankan agar ia diselaraskan dengan undang-undang sedia ada bawah JPPM dan SSM.

(Memorandum Jemaah Menteri dibentang September)

Media Baharu