fb fb fb fb fb

Kos haji, TH serah cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbang

(Tan Sri Azman Mokhtar)

SEPANG, 13 Ogos- Kos haji tahun depan hanya dapat diputuskan selepas pengurusan Tabung Haji (TH) bermesyuarat dan menyerahkan cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar berkata kenaikan kos haji bukan dalam kawalan TH, sebaliknya bergantung kepada faktor peningkatan kos di luar kawalan khususnya bagi perkhidmatan sedia ada

Antaranya, caj tambahan bagi kemudahan baharu termasuk fasiliti khemah, tandas, sajian serta penggunaan bas di Arab Saudi.

Bagaimanapun, TH sentiasa berusaha mencari jalan untuk menambah baik perkhidmatan dari semasa ke semasa dengan kos berpatutan.

"Tahun ini kita terpaksa naikkan sedikit dan bersasar, yakni kumpulan B40 itu naik RM1,000. Kumpulan yang bukan B40 naik RM3,000. Walau bagaimanapun tahap bantuan itu masih tinggi.

"Kalau kita bayangkan, RM10,980, kalau bandingkan dengan RM28,000, tak silap saya lebih kurang 62 peratus dia punya bantuan, kalau golongan yang atas sikit itu 55 peratus bantuannya.

"Jadi, memanglah ini antara tugas kami untuk teruskan mengawal kos itu tapi memberi perkhidmatan itu satu tahap yang baik, yang kekal ataupun lebih baik," katanya.

(TH sentiasa berusaha mencari jalan untuk menambah baik
perkhidmatan dari semasa ke semasa dengan kos berpatutan)

Beliau sebelum itu menyambut ketibaan kumpulan terakhir seramai 284 jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Kumpulan tersebut yang berlepas malam semalam dari Madinah, tiba pada pukul 1.30 tengah hari menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH 8351).

Kesemua 14,305 jemaah haji Malaysia dan 340 petugas TH selamat pulang menerusi 49 penerbangan carter haji Malaysia Airlines dan Saudi Airlines sejak 17 Julai hingga 13 Ogos.

Media Baharu