KUALA LUMPUR, 13 November – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), agensi peneraju kediaman mampu milik bagi kumpulan M40 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sekali lagi mengukir kejayaan membanggakan apabila memenangi dua anugerah di The Edge Malaysia Property Excellence Awards 2025 yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.
Majlis anugerah berprestij anjuran The Edge Malaysia yang disempurnakan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini menyaksikan Residensi Matang Premier di Sarawak dan Residensi Nexus Kajang di Selangor masing-masing dinobatkan sebagai penerima Affordable Urban Housing Excellence Award 2025.
Pencapaian ini juga menandakan tahun ketiga berturut-turut PR1MA menerima pengiktirafan di The Edge Malaysia Property Excellence Awards sejak 2023, sekali gus memperkukuh kedudukan PR1MA sebagai pemaju utama sektor perumahan mampu milik di Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Program The Edge Malaysia Property Excellence Awards 2025/Foto Penganjur
Residensi Matang Premier terdiri daripada 448 unit apartmen berkeluasan sehingga 978 kaki persegi, dengan susun atur 3 bilik tidur dan 2 bilik air. Kediaman di Sarawak yang dibina bersama PR1MA dan Lei Ling Construction & Development Sdn. Bhd. ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti taman permainan, kawasan rekreasi, dewan komuniti, surau, tadika, taska serta gelanggang bola keranjang dan futsal bagi menyokong gaya hidup komuniti aktif dan moden masa kini.
Sementara itu, Residensi Nexus Kajang yang dibangunkan oleh Metro KL City Sdn. Bhd. pula merangkumi 393 unit apartmen dengan keluasan sehingga 1,050 kaki persegi. Menawarkan pilihan antara 2 atau 3 bilik tidur, setiap unit direka dengan susun atur yang praktikal bagi memenuhi cita rasa masa kini. Kediaman ini turut dilengkapi dengan kemudahan komuniti seperti kolam renang, dewan serba guna, gimnasium, tadika, taska serta gelanggang badminton.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Haji Mohd Nazri bin Md. Shariff, “Anugerah ini mengiktiraf usaha berterusan PR1MA dalam menyediakan perumahan mampu milik khususnya untuk golongan M40.
“Kami memahami cabaran pemilikan rumah di bandar dengan harga yang berpatutan dan kualiti binaan yang baik. Oleh itu, PR1MA akan terus menawarkan kediaman berkualiti dengan nilai mampu milik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.”
Wakil-wakil PR1MA bergambar bersama anugerah yang dimenangi/Foto Penganjur
The Edge Malaysia Property Excellence Awards merupakan acara tahunan yang mengiktiraf kecemerlangan dalam sektor hartanah negara, menilai aspek seperti kualiti produk, reka bentuk, inovasi, kemampanan, daya huni serta pembangunan komuniti.
Pengiktirafan ini memperkukuh reputasi PR1MA sebagai peneraju dalam penyediaan kediaman mampu milik dan pemangkin peningkatan kualiti hidup rakyat berpendapatan pertengahan melalui pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing.
Artikel ini dibawakan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).