fb fb fb fb fb

RUU Sistem Insuran Pekerjaan (Pindaan) 2022 diluluskan di Dewan Rakyat

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 25 Julai - Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan 2022 diluluskan di Dewan Rakyat.

Pada sesi penggulungan, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata Kerajaan tidak melindungi atau menyembunyikan mana-mana pihak dalam isu penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya).

Pihaknya melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuat siasatan secara telus.

(Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan ketika menggulung perbahasan
Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat)

"Kebetulannya KSM melalui agensi Perkeso telah menggunakan penyaiasatan forensik, kita lakukan siasatan bukan kita menggunakan orang luar untuk mengenal pasti, yang mengenal pasti ada penyelewengan adalah Perkeso sendiri yang telah mengadakan satu siasatan dalaman.

"Kita yang melaporkan kepada pihak SPRM untuk bantu kita sekiranya saya nak mempertahankan mana-mana individu tidak kira sama ada orang politik atau tidak akan laporkan kepada SPRM, ini kita yang secara sukarela lapor kepada SPRM supaya mengambil tindakan tanpa mengambil kira ideologi politik, tidak kira sama ada syarikat itu berada dalam kepentingan parti politik atau tidak," katanya.

Tambah Saravanan, hanya 66 daripada 45,379 syarikat yang menyertai Penjana Kerjaya, terlibat penyelewengan malah hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan didedahkan sebaik selesai.

Saravanan turut menafikan wujud ketirisan dan penyalahgunaan dana peruntukan geran pembangunan bagi Akta 800.

"Tiada ketirisan atau penyalahgunaan dana peruntukan geran pembangunan Akta 800 sebanyak RM40.35 juta memandangkan syarat geran yang tersebut tidak dinyatakan daripada awal oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) memandangkan dana ini datang dari EPU dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi tujuan perbelanjaan mengurus," katanya.

Saravanan turut memberi jaminan proses pemberian dana insentif Program Penjana Kerjaya akan diperketatkan bagi mengelak isu tuntutan palsu dan penyelewengan berulang.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2022.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pindaan telah dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan ketua hakim negara bersama-sama ahli-ahlinya.

(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang),
Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat)

"Dalam tempoh setahun anggaran penjimatan penggunaan kertas dan dakwat cetak adalah RM2.2 juta yang dapat kita jimatkan apabila kita menggunakan bebas kertas ini.

"Pindaan ini telah pun dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa melalui kaedah-kaedah yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara manakala ahli-ahlinya terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Tinggi, wakil Peguam Negara, Hakim Kanan Mahkamah Seksyen, Presiden Bar Council Malaysia, Presiden Peguambela Sabah dan Sarawak sejak daripada tahun 2019," katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat.

Tambah Mas Ermieyati, cadangan pindaan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91) melibatkan dua perkara.

Iaitu, mengehadkan rayuan untuk kes-kes interlokutori sivil dan penyediaan dokumen dan rekod rayuan bebas kertas dalam prosiding perbicaraan rayuan jenayah.

Media Baharu