fb fb fb fb fb

Serbu stor diesel haram, KPDNHEP tahan 14 individu

(Anggota Penguat Kuasa KPDNHEP memeriksa tangki digunakan sindiket
untuk menyimpan diesel bersubsidi/FOTO KPDNHEP)

KUALA LUMPUR, 26 Julai- Sebuah premis berhampiran Taman Batu Permai, Jalan Ipoh di sini yang dijadikan stor penyimpanan diesel haram diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur.

Serbuan yang dilakukan Jumaat lalu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Nurul Syarina Md Anuar, berkata risikan mendapati beberapa lori 'bonded' yang diubah suai membuat pembelian diesel di stesen minyak sekitar ibu negara termasuk Setapak, Kepong, Wangsa Maju dan Jalan Kuching, di sini.

Katanya, lori-lori terbabit kemudian menghantar diesel berkenaan ke stor penyimpanan haram.

"Kita dapati pembelian diesel bersubsidi dibuat setiap hari dengan kuantiti dianggarkan melebihi 50,000 liter.

"Keseluruhan transaksi pembelian membabitkan pembayaran hampir RM107,500 dan setiap transaksi dilakukan secara tunai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, kegiatan itu dikesan dilakukan seawal pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam sahaja iaitu pada waktu sibuk bertujuan untuk mengelak daripada dikesan.

"Kesemua pemandu lori ini amat berhati-hati serta akan melalui jalan yang agak sunyi bagi mengelak diekori oleh Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang (LEA's) dalam penghantaran bekalan diesel ke stor berkenaan.

"Bekalan yang dihantar ke stor berkenaan akan dipindahkan ke lori tangki dan dijual kepada pemborong berlesen yang beroperasi di Lembah Klang," katanya.

Tambahnya, pihaknya menyita 15,700 liter diesel dianggarkan bernilai RM33,755, dua lori tangki, dua lori bonded, empat pam dan tiga hos minyak serta resit-resit pembelian dengan jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan RM224,000.

Katanya, pihaknya juga menahan 14 individu termasuk pemilik stor haram berkenaan bersama 13 pekerja.

(Kegiatan itu dikesan dilakukan seawal pukul 8 pagi hingga 8 malam sahaja iaitu pada waktu sibuk bertujuan
untuk mengelak daripada disedari orang ramai dan pihak berkuasa/FOTO KPDNHEP)


"Ke semua suspek lelaki warga tempatan itu ditahan kerana disyaki menjalankan urusniaga barang kawalan tanpa memiliki lesen yang sah dan menyimpannya di tempat yang tidak dilesenkan.

"Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.

Penalti bagi kesalahan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh membawa hukuman sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan kedua atau penjara sehingga 5 tahun,jika sabit kesalahan.

Kata beliau, siasatan secara lebih mendalam akan dilakukan pihaknya berhubung rantaian penyelewengan didalangi sindiket.

Selain itu, katanya KPDNHEP WP Kuala Lumpur akan meneruskan kerjasama dengan PDRM dan agensi-agensi penguatkuasaan lain untuk memperkemas tindakan penguatkuasaan membendung ketirisan subsidi.

Sebarang aduan boleh dikemukakan kepada pihak KPDNHEP melalui: Portal e-aduan https://eaduan.kpdnhep.gov.my atau talian 1 800 886 800.

Media Baharu