fb fb fb fb fb

Harga minyak masak botol akan diwartakan- Annuar

KUALA LUMPUR, 25 Julai- Harga maksimum minyak masak botol akan diwartakan. Penentuan harga ditetapkan dari semasa ke semasa berdasarkan harga pasaran dunia.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata pewartaan merupakan penetapan harga yang efektif.

Beliau berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira keenganan majoriti pengilang untuk menurunkan sekurang-kurangnya 10 peratus harga selepas tempoh dua minggu diberi kerajaan berakhir.


(Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa)

'Walaupun kita telah buat engagement tetapi nampaknya industri agak perlahan. Saya guna istilah agak 'liat' untuk mempercepatkan proses menurunkan harga walaupun alasan-alasan yang diberikan misalnya alasan kerana mereka sedang menjual minyak stok yang lama sewaktu membeli pada harga yang tinggi.

"Jawatankuasa berpendapat alasan itu tidak adil kepada rakyat kerana sewaktu harga minyak naik, mereka untung kerana menjual pada harga tinggi, stok minyak yang dibeli pada harga yang lebih rendah. Ini memerlukan rasa tangunggjawab dan kebersamaan, tetapi nampaknya ia tidak berlaku", katanya.

Pewartaan tersebut akan diperincikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kali keenam Pasukan Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen.

Dalam pada itu, Annuar memaklumkan eksport minyak masak dalam bentuk polibeg dihentikan berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan tersebut diambil bagi mengatasi kekeliruan penguat kuasa membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran.

"Apabila ada pengeksport yang mengeksport minyak masak dalam bentuk yang hampir serupa, ia menimbulkan masalah kepada penguat kuasa", katanya.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan berunding dengan pihak tertentu yang mengeluarkan lesen-lesen eksport minyak masak dalam bentuk polibag.


Media Baharu