fb fb fb fb fb

RUU PSB: Tiga tahap persetujuan pemilik hartanah dicadang - PM

Anwar Ibrahim/RTM

KUALA LUMPUR, 25 Februari- Kerajaan mencadangkan tiga kategori nilai ambang persetujuan pemilik hartanah sebelum sesuatu projek pembangunan dapat dilaksanakan bawah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan cadangan itu mengambil kira usia bangunan bagi menentukan kadar persetujuan yang diperlukan.

Anwar berkata, sebagai contoh, bangunan berusia kurang 30 tahun memerlukan 80 peratus pemilik menyatakan persetujuan, manakala bangunan berusia lebih 30 tahun memerlukan 75 peratus persetujuan pemilik dan bagi rumah terbiar serta terbengkalai, 51 peratus iaitu majoriti mudah diperlukan.

"Ada kes seperti rumah pangsa di Jalan Tun Razak (Desa Kudalari), semua setuju tetapi seorang sahaja tak setuju, (akhirnya) sampai sekarang (bangunan itu jadi) lapuk, lembap (dan) daif.

"Apakah kita boleh korbankan seluruh projek yang dipersetujui 99 peratus (pemilik) hanya kerana seorang (saja yang tidak bersetuju)?" katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan nilai ambang itu bukan bertujuan memaksa persetujuan pemilik, sebaliknya sebagai syarat untuk membolehkan rundingan dimulakan.

Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing mengenai langkah kerajaan dalam memastikan hak pemilik hartanah terus dilindungi tanpa elemen paksaan, selaras dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

SITI AISHAH MD ISA