KUALA LUMPUR, 25 Februari – Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025 diberi pelbagai pendedahan dalam usaha membentuk masa depan generasi muda sebagai pemimpin negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata pihaknya akan menambah baik program tersebut, termasuk aspek kemudahan infrastruktur bagi memastikan keberkesanannya.
“Kita dalam proses menambah baik infrastruktur kem untuk program seterusnya. Melalui modul-modul yang disediakan, lebih banyak keupayaan dan jati diri wira muda ini dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
"Secara keseluruhan, siri pertama ini berjaya dilaksanakan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025, di sini pagi tadi.
Menurutnya, program itu bukan sahaja membentuk jati diri peserta sebagai pemimpin masa depan, tetapi turut membuka peluang kepada mereka meneroka bidang seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kerjaya.
Dalam perkembangan lain, Adly memaklumkan rakyat Palestin yang berada di Malaysia untuk menerima rawatan akan dihantar pulang selepas keadaan di Gaza diyakini selamat.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan proses itu mengambil masa kerana melibatkan urusan antara Malaysia dan Mesir.
“Ia mengambil sedikit masa kerana membabitkan keselamatan penduduk Palestin. Buat masa ini, kita akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, kementerian serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.