fb fb fb fb fb

Kemiskinan tegar Bumiputera disasar sifar menjelang 2035

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Februari-Kerajaan menyasarkan kadar kemiskinan tegar Bumiputera kekal pada 0 peratus menjelang tahun 2035.

Bagi mencapai sasaran tersebut, tiga strategi utama telah ditetapkan di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), termasuk untuk Bumiputera Sabah.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata strategi itu merangkumi akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan, peningkatan kawalan Bumiputera dalam sektor ekonomi, serta usaha memperkukuh kesedaran dan pemerkasaan ekonomi.

"Ada keperluan untuk kita mengambil 10 daerah termiskin ini sebagai anak angkat Kementerian Ekonomi, dan langkah ini akan dibentang serta dilaksanakan.

"Saya difahamkan bahawa enam daripada 10 daerah termiskin di Malaysia terletak di Sabah.

"Oleh itu, saya berharap usaha membasmi kemiskinan di Sabah dapat dipercepatkan," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Rafizi, kerajaan akan mengoptimumkan potensi ekonomi dengan memberi tumpuan kepada industri bernilai tinggi dan berdaya pertumbuhan tinggi (HGHV).

Selain itu, usaha turut ditumpukan kepada meningkatkan skala perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam bidang keusahawanan, serta mewujudkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD