AMPANG, 29 Ogos- Penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 akan memberi tumpuan kepada kepentingan semua kaum, khususnya golongan B40 dan M40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan kononnya isu demografi dan penguasaan pemilikan rumah sesuatu kaum adalah tidak benar dan hanya persepsi.
“Kerajaan akan terus mempertahankan kepentingan semua kaum. Ramai masih hidup dalam keadaan miskin, bukan sahaja Melayu, tetapi juga India dan Cina di beberapa kawasan tertentu.
Tumpuan utama adalah untuk membangunkan kawasan setempat serta membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Seksyen 1 Persimpangan Bertingkat Sungai Long ke Persimpangan Bertingkat Ampang Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di Plaza Tol Ampang di sini, hari ini.
Tambah Datuk Seri Anwar, kerajaan turut bersetuju menaikkan nilai ambang rumah sekitar 80 peratus.
Namun, tegasnya langkah itu perlu disertai usaha membela nasib golongan kurang berkemampuan.
Beliau mengulas lanjut, masih wujud keluarga yang tinggal di pangsapuri sempit dengan jumlah ahli keluarga mencecah enam anak dalam satu bilik, malah ada yang menampung dua keluarga serentak.
“Segelintir pihak hanya bercakap berdasarkan teori tanpa melihat realiti sebenar. Wakil rakyat perlu turun padang dan menyaksikan sendiri keadaan rakyat, barulah hatinya tersentuh,” ujarnya.