AMPANG, 29 Ogos -Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengibarkan Jalur Gemilang bukan sahaja sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, tetapi turut dilanjutkan hingga Hari Malaysia pada 16 September.
Beliau berkata, ia sebagai simbol kesetiaan, perpaduan dan semangat patriotisme tidak berbelah bahagi terhadap negara.
Menurut Perdana Menteri, semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum perlu terus ditekankan bagi menzahirkan semangat kebersamaan yang telah menjadi asas kepada pembentukan negara sejak kemerdekaan pada tahun 1957 dan penubuhan Malaysia pada 1963.
"Jaga keamanan, pelihara perpaduan dan bekerjasama demi membawa kebaikan. Jangan sekali-kali kita membawa kepada kejahatan dan perpecahan. Itu sahaja yang diminta daripada kita sebagai rakyat Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) Seksyen 1 di Plaza Tol Ampang, di sini.
Datuk Seri Anwar berkata, keharmonian dinikmati hari ini merupakan hasil usaha dan pengorbanan generasi terdahulu yang membina negara ini atas prinsip kebersamaan.
"Masyarakat Melayu dan Bumiputera telah membuka ruang dan memberikan tempat kepada keluarga daripada kaum Cina, India dan pelbagai etnik lain untuk hidup bersama dalam aman dan makmur, khususnya di negeri-negeri seperti Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian," katanya.
Beliau juga turut menyeru rakyat, termasuk syarikat-syarikat swasta, pusat perniagaan, pejabat dan juga kediaman mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia sebagai tanda komitmen dan penghargaan terhadap tanah air.
"Walaupun hanya beberapa hari, ia membawa makna besar. Jadikan ia satu amalan hingga ke 16 September dan seterusnya. Tunjukkan bahawa ada signifikan, ada tanda yang mana kita semua bersatu dari semua kaum dalam memuliakan Jalur Gemilang," katanya lagi.