PUTRAJAYA, 29 Ogos - Semua bangunan bertingkat yang dibina bermula tahun 2016 di negara ini mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap kejadian gempa bumi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, semua bangunan yang diluluskan pembinaan mulai tahun tersebut dikehendaki mematuhi piawaian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), terutamanya dalam aspek keselamatan.
"Keselamatan bangunan di negara kita dikawal ketat oleh CIDB di mana garis panduan CIDB menetapkan bangunan baharu dibuat sejak 2016 perlu mampu bertahan (gegaran) gempa bumi pada magnitud 7 dan ke atas.
"Saya nak tegaskan dalam soal (pembinaan bangunan) ini, keselamatan awam menjadi keutamaan kami. Tiada kompromi," kata beliau dalam sidang media KPKT di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nga berkata, meskipun Malaysia jarang dilanda kejadian tsunami dan gempa bumi, namun penting diadakan kempen kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan dalam menghadapi bencana dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Mulai hari ini, rakyat Malaysia kena belajar daripada rakyat Jepun, ada perasaan mencegah lebih baik daripada mengubati iaitu belajar apakah langkah perlu diambil jika gempa bumi berlaku. Ia perlu dilaksanakan dengan pendekatan secara menyeluruh," jelas beliau.