fb fb fb fb fb

RUU pindah fungsi Mavcom dibentang

Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM)

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, antara lain untuk memindahkan segala fungsi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

RUU bagi meminda Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Akta 788) itu dibentang Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah.

Bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang itu dijadual dibentangkan pada mesyuarat yang sama.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu dipinda untuk memindahkan segala fungsi Mavcom berhubung pengawalseliaan hal ehwal ekonomi dan komersial berkaitan dengan industri penerbangan awam kepada CAAM disebabkan oleh pembubaran Mavcom.

Dengan pindaan ini, CAAM menjadi badan kawal selia tunggal berkaitan dengan industri penerbangan awam.

Selain itu, pindaan turut melibatkan Seksyen 16(1) Akta 788 untuk memasukkan fungsi baharu berkaitan perkara ekonomi antara lain termasuklah memperbaiki perhubungan di peringkat global dan tempatan supaya dapat menggalakkan pertalian ekonomi, integrasi dan pertumbuhan, perdagangan, pelaburan serta pelancongan.

Dalam seksyen sama, pindaan itu bertujuan bagi menggalakkan persaingan yang berkesan dalam industri penerbangan awam dengan menggalakkan persekitaran ekonomi yang membenarkan syarikat penerbangan Malaysia mengekalkan keupayaan untuk bersaing dengan berkesan dalam pasaran penerbangan awam melalui cara yang menguntungkan, cekap, dan adil yang mampan.

Selain itu, ia untuk menggalakkan pengendalian aerodrom dan perkhidmatan pengendalian darat yang cekap, ekonomi, dan menguntungkan serta menggalakkan pelaburan yang tepat pada waktunya dalam industri penerbangan awam bagi memenuhi permintaan dan keperluan pembangunan.

Terdahulu, Hasbi membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) bagi bacaan kali pertama.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Akta 771), bagi membubarkan suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah akta itu.

Ia juga bertujuan bagi mengadakan peruntukan bagi peletakhakan hartanya kepada CAAM yang ditubuhkan di bawah Akta 788 dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan.

Menurut naskah biru, rang undang-undang itu juga bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi penurunan kuasa, hak, kewajipan, liabiliti dan obligasi Mavcom kepada CAAM.

Selain itu, rang undang-undang itu bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pemindahan semua perjanjian, surat ikatan, dokumen dan surat cara lain yang sedia ada daripada Mavcom kepada CAAM.

Bacaan kali kedua dan ketiga rang undang-undang itu dijangka dibentang pada mesyuarat yang sama. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN