KUALA LUMPUR, 26 Jun - Beberapa perkara dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 masih diperincikan sebelum pelaksanaan akta itu dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, perkara berkenaan akan dimaklum dan dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 yang dijadual bermula 21 Julai ini.
“Insya-Allah dalam masa sebulan dua kita akan siapkan seluruh kerangka pelaksanaan. Pada minggu pertama mesyuarat nanti, kita akan maklumkan kepada Ahli Parlimen kerana ada beberapa perkara yang perlu kelulusan Dewan,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Perjumpaan Bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Gotong-Royong Warga Parlimen Malaysia, pagi tadi
Pada Mac lepas, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 telah diluluskan di Dewan Rakyat, sekali gus membuka jalan kepada pemulihan kuasa autonomi Perkhidmatan Parlimen selepas dimansuhkan sejak 1992.
Langkah itu disifatkan sebagai pencapaian besar dalam agenda reformasi institusi di bawah Kerajaan Madani, dalam memastikan Parlimen dapat berfungsi sebagai badan legislatif yang bebas dan berdaulat.
Untuk rekod, RUU Perkhidmatan Parlimen kali pertama diperkenalkan pada 1963.
Dalam perkembangan berkaitan, Tan Sri Johari turut menyatakan hasrat untuk menganjurkan lebih banyak program bersama warga Parlimen seperti yang dilaksanakan hari ini, demi mengeratkan hubungan serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam institusi itu.