fb fb fb fb fb

Muhamad Norazlan Panglima Tentera Udara Ke-21, fokus perkasa CAP55

Panglima Tentera Udara ke-21, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM

SUBANG, 26 Jun- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan, pemodenan aset dan pembangunan modal insan selari dengan hala tuju strategik Pelan Strategik Pembangunan TUDM 2055 (CAP55).

Panglima Tentera Udara ke-21, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM berkata ketiga-tiga elemen itu saling melengkapi dan menjadi kunci kepada keberkesanan keseluruhan sistem pertahanan udara negara.

"Aset baharu bukan sekadar ganti lama, tapi peningkatan keupayaan. Jadi, kita perlukan anggota yang benar-benar terlatih agar penggunaannya dapat dioptimumkan," katanya dalam sidang media selepas Istiadat Serah Terima Tugas Panglima Tentera Udara di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Beliau mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, yang menamatkan perkhidmatan setelah lebih 42 tahun mencurahkan bakti dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya TUDM.

Majlis istiadat turut disaksikan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan diserikan dengan perbarisan penuh adat ketenteraan membabitkan 427 pegawai dan anggota TUDM serta penyertaan lapan panji-panji skuadron.

Acara kemuncak menyaksikan lintas hormat udara formasi pesawat pelbagai jenis termasuk SU-30MKM, F/A-18D, A400M, C-130H, PC-7 MKII dan EC-725 AP yang membuktikan kesiapsiagaan dan keupayaan TUDM secara keseluruhan.

Datuk Seri Norazlan dilahirkan di Kota Tinggi, Johor, berpengalaman luas dalam menerbangkan pesawat pejuang dan pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam TUDM termasuk Panglima Operasi Udara dan Panglima Bantuan Udara sebelum dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara pada 2022.

Pelantikannya disifatkan sebagai kesinambungan kepada agenda transformasi strategik TUDM dalam mendepani cabaran pertahanan udara era baharu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM