fb fb fb fb fb

RUU Pekerja Gig dijangka dibentang di Parlimen Ogos atau September ini

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri

BANGI, 1 Julai - Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig dijangka dibentangkan di Parlimen pada Ogos atau September ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sekiranya diluluskan, Malaysia bakal menjadi negara pertama mewujudkan kerangka khusus bagi melindungi 1.12 juta pekerja gig.

"Apabila akta ini dipentangkan pada bulan Ogos atau September tahun ini, ia merupakan akta pertama yang menjurus ke arah menjaga industri ekonomi gig.

Terdapat beberapa negara yang hanya meminda akta-akta sedia ada dan memasukkan ekonomi gig dalam akta tersebut, tetapi di Malaysia kita mempunyai akta baharu yang bakal  diwujudkan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi (HLC) Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) menyatakannya dalam sidang media selepas mempengerusikan sesi meja bulat ekonomi perkongsian dan industri gig, di sini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Tambah beliau, SEGiM sebagai pelaksana mekanisme akan diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras penguatkuasaan akta tersebut bersama Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Digital dan Kementerian Pengangkutan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN