KUALA LUMPUR, 1 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaruh harapan tinggi agar rangkaian pertemuan di 3 buah negara dapat memperkasa persahabatan, memacu perdagangan dan membuka limpahan peluang baharu.
Beliau mengetuai delegasi Malaysia berangkat ke Rom, Itali tengah hari tadi bagi pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.
Perdana Menteri dalam hantaran di media sosial berkata, lawatan kerja ke Itali melibatkan pertemuan bersama peneraju industri perniagaan di negara tersebut.
"Saya seterusnya ke Paris untuk bertemu Presiden Emmanuel Macron dan mengetuai sesi rundingan bersama gergasi industri negara berkenaan,'' katanya.
Datuk Seri Anwar turut dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement di Sorbonne University.
Tambah beliau, lawatan tersebut turut merangkumi penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro, Brazil.
Lawatan ke negara tersebut atas jemputan Presiden Lula da Silva sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN.
Tambah Perdana Menteri, Kuala Lumpur akan terus mengangkat kepentingan multilateralisme berteraskan undang-undang, tadbir urus AI, tindakan iklim dan kesihatan global demi masa depan dunia yang lebih adil dan inklusif.
Beliau memaklumkan akan membawa suara Malaysia bagi memperkukuh hubungan dua hala, meneroka peluang strategik dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke tanah air.
Perdana Menteri turut berharap lawatan ke negara-negara tersebut akan membuka lebih banyak ruang kemajuan menerusi rundingan dan perbincangan yang akan dijalankan.
Ia sekali gus memberi manfaat yang mampu dirasai oleh rakyat di negara ini.