fb fb fb fb fb

Kampung Angkat MADANI: Selami masalah di peringkat akar umbi

Foto RTM

BUKIT MERTAJAM, 8 November - Program Kampung Angkat MADANI membolehkan setiap pemimpin menyelami realiti dan masalah dihadapi rakyat di peringkat akar umbi seterusnya mencari penyelesaian tuntas isu terlibat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu mewajibkan setiap menteri, timbalan menteri serta ketua jabatan memilih sebuah kampung untuk dijadikan sebagai kampung angkat.

Ini sekali gus menterjemahkan iltizam kerajaan Madani dalam menyantuni rakyat.

"Menerusi pelaksanaan kampung angkat, pemimpin terlibat boleh mengetahui dengan lebih mendalam masalah yang dihadapi oleh kampung masing-masing seperti isu pendidikan, gejala sosial dan kemudahan.

"Setelah maklumat diperoleh, mereka boleh boleh merancang dan berusaha untuk memperbaiki isu tersebut. Ada maklumat yang tidak sampai apabila kita tidak melihat dari peringkat akar umbi," jelas Perdana Menteri ketika berucap pada Program Komuniversiti Kolaboratif di Padang Bola Cherok Tokun, di sini.

Cherok Tokun merupakan kampung angkat Perdana Menteri.

Dalam pada itu, inisiatif Sejati MADANI turut membuktikan tekad kerajaan menyantuni rakyat.

Menerusinya, kerajaan Madani memberi kuasa dan kepercayaan kepada komuniti di kampung bagi mengurus dan menentukan sendiri jenis projek untuk dilaksana.

Menurut Perdana Menteri, kebebasan menggunakan peruntukan yang disalur tanpa karenah birokrasi itu sekali gus memperkukuh semangat pemerkasaan rakyat.

"Orang kampung yang putuskan sendiri projek atau program yang mahu dilaksana menerusi peruntukan antara RM50,000 hingga RM100,000 yang disalur terus kepada kampung terlibat.

"Ada kampung panggil duta, beli dron, laksana projek pertanian. Ini terpulang kepada mereka," ujar beliau sambil memberitahu setakat ini pelaksanaan program tersebut menunjukkan hasil memberangsangkan.

Tambah Datuk Seri Anwar, projek yang diurus sendiri oleh penduduk itu menekankan pengurusan akaun dan rekod perbelanjaan yang teratur serta telus sebagaimana pendekatan Kerajaan Madani.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Program Sekolah Angkat Madani melibatkan syarikat-syarikat korporat dengan lebih 500 sekolah di seluruh negara telah menerima manfaat menerusi inisiatif itu.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN