KUALA LUMPUR, 8 November - Isu kekurangan jurubahasa mahkamah, khususnya bagi bahasa Cina dan Tamil perlu diberi perhatian serius dengan kerajaan disaran mengadakan perbincangan melibatkan agensi serta pihak berkaitan untuk mempertimbangkan tentang kenaikan gaji.
Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais berkata cadangan untuk kenaikan gaji itu merupakan usaha tepat bagi menghargai jasa jurubahasa sedia ada, sekali gus menarik minat lebih ramai individu untuk menceburi profesion tersebut.
“Saya berharap kerajaan akan dapat mengkaji perkara ini dan jika boleh laksanakan secepat mungkin kerana tanpa jurubahasa, mahkamah tidak akan dapat bersidang.
“Oleh itu, sebagai menghargai kerja yang dilakukan oleh jurubahasa, saya secara peribadi menyokong penuh agar mereka dinaikkan dan dipertimbangkan untuk kenaikan gaji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Mesyuarat Agung (Luar Biasa) Dwi Tahunan Kali Ke-19 Kesatuan Jurubahasa-Jurubahasa dan Penterjemah-Penterjemah Kementerian Kehakiman Malaysia Barat (KJDP) di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Sebelum ini media melaporkan, Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin meminta kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji permulaan jurubahasa mahkamah bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja, khususnya bagi bahasa Cina dan Tamil.
Beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat berkata langkah itu wajar diberi perhatian memandangkan peranan jurubahasa amat penting dalam memastikan kelancaran sistem kehakiman negara.
Sementara itu, Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata jurubahasa diibaratkan tulang belakang dalam memastikan kelancaran prosiding mahkamah kerana tanpa khidmat mereka kemungkinan ia tidak dapat berfungsi dengan efisien.
“Sebagaimana yang kita tahu, kerja di mahkamah tidak boleh dilakukan secara sendirian kerana ia merupakan kerja sepasukan.
“Pengantara (jurubahasa) harus dilihat dari aspek yang lebih besar kerana jurubahasa bukan setakat menterjemahkan sesuatu bahasa yang digunakan dalam prosiding mahkamah malah lebih daripada itu,” katanya yang teks ucapan dibacakan oleh Datuk Abu Bakar pada majlis itu.-BERNAMA