fb fb fb fb fb

KKR pantau lebih 2,000 cerun berisiko tinggi

Foto FB Alexander Nanta Linggi

BALIK PULAU, 8 November - Sebanyak 2,000 cerun di seluruh negara telah dikenal pasti oleh Kementerian Kerja Raya (KKR), sebagai berisiko tinggi sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan 27,000 cerun yang berada dalam pemantauan pihaknya.

"Kita memang memantau lebih daripada 2,000 cerun berisiko tinggi itu berdasarkan tahap keseriusan, iaitu yang memerlukan kerja-kerja segera serta perlu kita buat pemantauan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Dua Arahan Kerja bagi kerja pembaikan cerun di Laluan FT006, Jalan Balik Pulau – Teluk Bahang, yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada Oktober lalu.

KKR telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.309 juta bagi pelaksanaan kerja penyenggaraan cerun tersebut dan ia dijangka siap pada Februari 2026.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Datuk Seri Alexander Nanta turut menjelaskan berhubung penggunaan tol tanpa palang.

Menurut beliau, pihaknya masih dalam proses penerimaan cadangan dan membuka peluang kepada mana-mana pihak berminat untuk mengemukakan cadangan bagi pelaksanaan sistem itu.

"Kita masih membuka peluang kepada mana-mana pihak yang berminat sebelum kita boleh memperhalusinya. Ini memandangkan banyak aspek yang perlu diteliti untuk mencari kaedah yang terbaik," katanya.

EZA YUSMAWATI YAACOP