SIBU, 8 November - "Hari ini saya rasa dia sangat gembira. Saya tahu dia gembira," demikian luah Jenny Then, 57, ibu kepada mendiang John Jerel Anak Joseph, 25, yang menerima ijazah secara anumerta pada Majlis Konvokesyen ke-10 Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini hari ini.
Menurut Jenny Then, anak kedua daripada empat beradik itu berjuang menamatkan pengajian ijazah Kejuruteraan Elektrikal walaupun menghidap Sacral Chordoma, sejenis kanser yang menyebabkan kesakitan melampau.
Menurut Jenny, anak keduanya daripada empat beradik itu tetap berjuang menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal walaupun menanggung penderitaan akibat penyakitnya.
"Dia selalu kata sakit dia bukan tahap satu sampai sepuluh — lebih daripada itu. Tapi walau sakit, selepas rawatan dia tetap pulang belajar. Dia mahu menghabiskan pembelajaranya," katanya.
Jenny turut berkongsi, sebelum meninggal dunia pada 26 Februari lalu, John sempat berpesan agar keluarganya hadir untuk menerima ijazah bagi pihaknya.
"Dia mahu ‘berjalan’ ke atas pentas. Itu permintaan terakhir dia," katanya.
Apabila dimaklumkan pihak universiti bahawa Senat UTS meluluskan penganugerahan ijazah secara anumerta kepada John, Jenny berkata anaknya seolah-olah sudah bersedia untuk pergi.
Dilahirkan pada 1 Jun, John digambarkan sebagai anak yang rajin, berdikari dan berjiwa besar.
Mendiang juga sering kembali ke kampus selepas menjalani rawatan kerana sangat menyayangi rakan-rakan dan pensyarahnya di UTS.
"Dia kata, nak balik ke UTS sebab kawan-kawan dan pensyarah semua sayang dekat dia. Kawan dia cerita, dia sangat sakit masa itu tapi tetap habiskan peperiksaan. Lepas itu dia balik rumah sewa, siram belakang dengan air suam untuk kurangkan sakit sebelum memandu ke Kuching untuk rawatan," katanya.
Mendiang John Jerel Anak Joseph merupakan salah seorang daripada 408 graduan daripada 21 program akademik yang menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen UTS hari ini.
Jenny yang juga merupakan seorang guru di Miri menyatakan penghargaan kepada pihak Senat UTS, para pensyarah dan semua warga universiti atas kasih sayang dan sokongan yang diberikan kepada anaknya.
"Rasa kasih sayang itu ada di sini. Sebab itu dia mahu kembali ke UTS sampai akhir," katanya mengakhiri perbualan.