PUTATAN, 8 November - Majlis Media Malaysia (MMM) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertamanya pada Jumaat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tiga kategori utama, organisasi media, wartawan, serta badan bukan kerajaan dan akademik telah menjalani proses pemilihan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
"Jadi bukan hanya akta diluluskan dan mula berkuat kuasa tetapi pasukan yang akan membentuk majlis yang pertama itu telah dipilih dan mereka akan mulakan proses untuk membentuk MMM.
"Saya harap mereka dapat jalankan tugas dengan baik, jadilah badan kawal selia kendiri untuk industri dan sektor media," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Hari Bersama Komuniti (HBK) dan Temu Anak Muda di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Kopimpinan di sini.
Tambah Datuk Fahmi, beberapa aspek pentadbiran yang sebelum ini tertangguh kini hampir diselesaikan sepenuhnya.
Langkah itu bakal memperkukuh peranan MMM sebagai badan kawal selia kendiri bagi sektor media di negara ini.
Dengan terbentuknya majlis berkenaan, Datuk Fahmi berharap ekosistem media negara menjadi lebih bebas, profesional, beretika dan mampan dalam menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kebanjiran media sosial yang semakin mencabar landskap kewartawanan masa kini.