SEREMBAN, 1 Julai - Telus, berintegriti dan berakauntabiliti tinggi dalam pengurusan dana kerajaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa setiap sen yang disalurkan melalui dana peruntukan merupakan amanah daripada rakyat.
Pengerusi dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diingatkan bahawa segala bentuk penyelewengan, penyalahgunaan atau kelewatan dalam pelaksanaan akan menjejaskan imej kerajaan serta mencemarkan kepercayaan rakyat.
Dana Inisiatif Sejati Madani perlu diurus secara bertanggungjawab, telus dan berkesan kerana ianya merupakan amanah dan kepercayaan kerajaan kepada JPKK.
"Laporan penggunaan dana perlu secara berkala dan telus kepada pejabat pembangunan negeri dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan mengikut prosedur yang betul. Impaknya terlalu besar kepada masyarakat kerana setiap penduduk tahu apa yang dibuat oleh kita," kata Datuk Seri Aminuddin, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Amanat Bersama Kepimpinan JPKK Negeri Sembilan 2025 di Klana Resort Seremban.
Selain itu, beliau turut meminta pemimpin akar umbi agar lebih proaktif, sentiasa peka dan cepat bertindak terhadap sebarang isu rakyat.
Kerajaan negeri dan Persekutuan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan JPKK merupakan ejen penting dalam memastikan segala bentuk bantuan dan insentif kerajaan sampai ke tangan rakyat.