fb fb fb fb fb

Golongan petani di Perlis semakin berusia

Foto Hiasan

KANGAR, 1 Julai - Hasil dapatan Banci Pertanian 2024 di Perlis mendapati golongan petani di negeri itu semakin berusia.

Sebanyak 99.3 peratus daripada 18,970 pegangan pertanian yang direkodkan pada 2023 merupakan pegangan pertanian individu, dengan 54.4 peratus daripadanya dimiliki individu berumur 60 tahun dan ke atas.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia Merangkap Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, hanya 27.4 peratus pegangan pertanian dimiliki petani berusia 46 hingga 59 tahun.

Manakala, bagi golongan petani belia,15 hingga 45 tahun hanya 18.2 peratus.

Beliau bagaimanapun berbangga dengan Perlis, dengan keluasan yang terhad mampu menjadi antara penyumbang makanan asasi iaitu padi, terbesar negara.

"Perlis ini walaupun kecil, sumbangan dalam sektor pertanian, terutama makanan asasi iaitu padi antara yang terbesar selepas Kedah. Jadi saya yakin, kerajaan negeri boleh memberi tumpuan terhadap sektor ini agar makanan asasi negara ini dapat dihasilkan dengan lebih baik.''

Datuk Seri Dr Mohd Uzir memaklumkan perkara tersebut pada Sesi Majlis Peluncuran Laporan Interim Negeri Perlis yang dirasmikan oleh Exco Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan, Razali Saad.

Jabatan Perangkaan telah menerbitkan laporan Interim Banci Pertanian 2024 yang memaparkan statistik bagi keseluruhan sektor pertanian.

Termasuk, lima subsektor, iaitu Tanaman, Ternakan, Perikanan, Akuakultur dan Perhutanan serta Pembalakan.

Perkara tersebut meliputi enam parameter utama, iaitu profil pegangan pertanian, keluasan bertanam, keluasan bertuai, kuantiti pengeluaran, kuantiti jualan dan nilai jualan.

ASHRIQ FAHMY AHMAD