KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Koperasi yang baharu kini berada pada peringkat akhir penggubalan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Disember ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, RUU tersebut akan menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502), dan dijangka diwartakan pada Jun 2026 sebelum dikuatkuasakan pada November atau Disember tahun sama.
"RUU Koperasi kini hampir memasuki fasa akhir penggubalan sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk pembentangan yang dijangkakan pada awal Disember tahun ini." katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mesyuarat Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 2/2025 di sini, hari ini.
Bacaan pertama RUU itu akan dibentangkan pada Disember ini, manakala bacaan kedua dan ketiga dijadualkan berlangsung pada Mac 2026.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menjalankan 23 sesi libat urus dengan pelbagai pihak.
Antara pihak yang terlibat termasuk agensi kerajaan, koperasi premier, federasi, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), universiti tempatan serta wakil pentadbiran negeri Sabah, Pulau Pinang, Johor, Pahang, dan Sarawak.
Penganjuran mesyuarat MPKK lebih awal sebelum sesi pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadualkan Oktober ini adalah langkah penting bagi memastikan suara gerakan koperasi diambil kira.
"Ini adalah penting untuk gerakan koperasi mengemukakan input dan cadangan bajet dari perspektif koperasi, agar sektor ini tidak dipinggirkan dalam penyediaan Belanjawan 2026," ujarnya.
Menerusi mesyuarat itu, tiga kertas pembentangan telah dibentangkan bersama anggota MPKK untuk memberi pandangan serta cadangan konstruktif.
Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran Hari Koperasi Negara 2025 (HKN’25) di Melaka bulan lalu berjaya mencatatkan jumlah jualan melebihi RM1.1 juta, manakala potensi jualan pula dianggarkan mencecah RM22 juta.