IPOH, 9 September - Kerajaan Perak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
RUU berkenaan menggantikan Enakmen 1996 yang sudah lebih dua dekad tidak dipinda dan dianggap tidak lagi sesuai dengan cabaran semasa.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, enakmen ini akan memperkasakan pentadbiran sekolah agama Islam agar lebih teratur, berkesan dan relevan dengan aspirasi pendidikan ummah.
Antara penambahbaikan utama termasuk pewujudan jawatan Ketua Pendaftar, Timbalan Ketua Pendaftar dan beberapa Pendaftar, peluasan tafsiran 'sekolah' serta penetapan syarat kewangan sah bagi pengurusan sekolah.
"Penambahan kuasa dan fungsi majlis turut diperuntukkan di dalam cadangan RUU baharu ini dengan memasukkan satu bahagian baharu iaitu “Bahagian VII” bagi memberi kuasa kepada Majlis atas syor Ketua Pendaftar untuk menutup mana-mana sekolah yang tidak berdaftar.
"Selain itu Majlis juga diberikan kuasa, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk membuat kaedah-kaedah bagi pelaksanaan enakmen yang lebih berkesan", katanya ketika membentangkan RUU tersebut di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Selain itu, Jemaah Pengurusan Sekolah ditetapkan berkhidmat untuk tempoh tiga tahun dengan keperluan mengisi kekosongan dalam masa yang ditetapkan.
RUU berkenaan mengandungi 8 bahagian dan 30 fasal, merangkumi aspek pendaftaran, pengurusan, akaun sekolah, nazir, penutupan sekolah serta pelbagai peruntukan lain.
Kerajaan Negeri yakin, melalui undang-undang baharu tersebut, sekolah agama Islam di Perak dapat diurus secara lebih efisien sekali gus melahirkan generasi berilmu, beriman dan berakhlak mulia.