SEREMBAN, 9 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas inisiatif Menu Rahmah @ Hospital ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, menjadikannya hospital kedua di negara ini selepas Hospital Tuanku Fauziah di Perlis.
Timbalan Menterinya, Datuk Fuziah Salleh menyeru lebih banyak hospital kerajaan mahupun swasta di seluruh negara menyertai program tersebut.
Menurutnya, KPDN menyasarkan sekurang-kurangnya enam hospital melaksanakan Menu Rahmah @ Hospital sepanjang tahun ini.
“Sebanyak 3,106 premis menawarkan Menu Rahmah di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 400 sudah menerima kad diskaun Menu Rahmah. Dengan adanya kad diskaun tersebut, mereka mempunyai pilihan untuk membeli barangan keperluan di Jualan Rahmah pada harga lebih rendah bagi menyediakan Menu Rahmah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Menu Rahmah @ Hospital di kafeteria HTJ, hari ini.
Pelaksanaan program itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menurunkan kos sara hidup serta memastikan pesakit, pengunjung dan warga kerja hospital mendapat akses kepada makanan berkualiti, sihat dan berpatutan.