KUALA LUMPUR, 9 September - Salah sebuah kapal flotila kemanusiaan ke Gaza dilaporkan diserang dron ketika berada di perairan Tunisia.
Aktivis MAPIM Malaysia, Zulfadhli Khiruddin menerusi rakaman video di media sosial berkata, serangan itu mengenai kapal utama, Madeira atau Family, yang membawa sebahagian besar ahli jawatankuasa penganjur serta peralatan misi.
"Serangan berkenaan menyebabkan kebakaran, namun alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini," katanya.
Beliau memaklumkan, pihak keselamatan tempatan telah menutup kawasan dan melaksanakan kawalan, manakala pasukan flotila sedang menunggu hasil siasatan lanjut bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Zulfadhli turut meminta semua pihak bertenang dan tidak membuat spekulasi melampau, sambil menegaskan bahawa keseluruhan pasukan berada dalam keadaan selamat.