fb fb fb fb fb

RUU Kawal Produk Tembakau tidak beri kesan kepada industri runcit

(Khairy Jamaluddin bersama pada Majlis Pelancaran Generasi Tanpa Rokok di
SMK Bandar Seri Putra pada 25 April lalu/FOTO FB Khairy Jamaluddin)

PUTRAJAYA, 30 Julai - Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 tidak akan memberi kesan kepada sektor peruncitan seperti didakwa beberapa pemain industri.

Tegas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekiranya diluluskan maka pelaksanaannya kelak bakal dibuat secara berperingkat dan tidak melibatkan golongan perokok sedia ada.

“Bermakna mereka yang terlibat dalam industri rokok adalah kecil. Jumlah pasaran rokok akan semakin mengecil secara berperingkat iaitu bermula yang lahir 2007, 2008, 2009 dan seterusnya...ia akan ambil masa lama sebelum pasaran itu sangat kecil (mungkin) ia akan ambil masa 20 hingga 30 tahun.

“Kalau sekarang sudah 18 tahun ke atas, boleh hisap rokok (sebelum rang undang-undang itu dikuatkuasakan). Ia tak akan sebabkan kesan secara terus kepada ekonomi kerana ia dikuatkuasakan secara berperingkat, setiap tahun bertambah (individu) tidak boleh merokok tetapi yang sedia merokok akan kekal beli produk rokok,” katanya dalam temu bual khas dengan media mengenai rang undang-undang itu di sini.

Katanya, industri tembakau hanya menyumbang 0.18 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan sekadar menyumbang 1.8 peratus daripada pendapatan cukai negara.

Khairy turut menegaskan, Dasar Penamat Generasi dalam RUU itu bukan bersifat 'menjenayahkan' individu.

Sebaliknya hanya melarang aktiviti merokok dan membeli rokok bagi remaja yang lahir selepas 2007.

Menurut Khairy tiada rekod jenayah akan disabitkan kepada pesalah sebaliknya mereka hanya berdepan kompaun maksimum RM5,000 sahaja.

"Saya boleh nyatakan bahawa kebanyakkan hanya dikompaun RM50 sejak 2019, manakala 10,421 kompaun dikeluarkan kepada individu usia 18 tahun ke bawah berdasarkan peraturan keluaran Akta Tembakau sedia ada, manakala hanya 145 individu dibawa ke mahkamah," katanya.

(Khairy Jamaluddin pada Majlis Pelancaran GEGAR-18 pada 25 April lalu di SMK Bandar Seri Putra pada 25 April lalu/FOTO FB Khairy Jamaluddin)

Pihaknya juga telah memberi jaminan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan, Sains dan Inovasi untuk mengecualikan hukuman penjara melibatkan kesalahan berkenaan.

Dalam pada itu, Khairy optimis RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Kenyakinan itu dizahirkan hasil libat urus dan sesi taklimat dilaksanakan sebelum ini.

"PSC minta supaya ada tempoh penilaian mandatori, itu saya kata saya tak buat dalam akta tetapi saya bagi jaminan kami buat jawatankuasa bebas yang akan semak undang-undang ini dan akan bentang laporan tentang keberkesanan undang-undang ini sebelum GEG dikuatkuasakan pada 2025.

"Saya beri jaminan jawatankuasa ini ditubuhkan dan dilaporkan kepada Parlimen dan bukannya KKM. Selain itu, 10 tahun selepas GEG dilaksanakan, jawatankuasa ini akan buat semakan sekali lagi kalau perlu dipinda akta dan sebagainya," katanya

Bacaan kali kedua RUU berkenaan dijangka dibentangkan Isnin ini.

Menurut rang undang-undang tersebut, individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Media Baharu