fb fb fb fb fb

Masjid, surau di bawah JAKIM, JAWI diarah laksana solat hajat doa misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla

Antara delegasi Malaysia menyertai misi Global Sumud Flotilla/ Foto Facebook Sumud Nusantara Official

KUALA LUMPUR, 3 September - Masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persukutuan (JAWI) diarahkan untuk mengadakan solat hajat hari ini bagi mendoakan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dipelihara oleh Allah SWT, diberikan kesejahteraan serta dipermudah segala urusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar dalam satu kenyataan menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan misi kemanusiaan itu yang memberikan sokongan kepada Palestin disertai beberapa organisasi dalam negara bermula 31 Ogos lalu.

Tambah beliau, apa jua inisiatif dan ikhtiar bermatlamat meringankan kesengsaraan umat Palestin pada masa kini mesti diberi dokongan oleh semua pihak khususnya umat Islam.

Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang didokong oleh komuniti antarabangsa adalah perjuangan mulia demi perjuangan kemerdekaan Palestin.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN