fb fb fb fb fb

Lebih 2.9 juta rakyat belanja RM192.4 juta guna Penghargaan SARA - MOF

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 September - Lebih 2.9 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam tempoh tiga hari dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM192.4 juta di seluruh negara.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan hari ketiga pelaksanaan Penghargaan SARA mencatat jumlah transaksi tertinggi setakat ini dengan lebih 1.1 juta transaksi berjaya disempurnakan.

“Ini melibatkan nilai jualan sebanyak RM75.3 juta setakat 10.30 malam berbanding RM50 juta pada 31 Ogos 2025. Pada masa yang sama, kadar transaksi yang berjaya juga telah meningkat kepada 95 peratus pada hari ini berbanding 79 peratus pada 31 Ogos 2025.

“Peningkatan jumlah transaksi sejak 31 Ogos 2025 menyebabkan sistem MyKasih berdepan pencanakan trafik yang mencecah lebih 2,000 transaksi diluluskan seminit berbanding rekod terdahulu sekitar 540 transaksi seminit pada April 2025,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan memaklumkan ini merupakan peningkatan hampir empat kali ganda berbanding kapasiti puncak sebelum ini dan bagi meningkatkan kelancaran sistem, kapasiti pemprosesan telah dipertingkat daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit.

“Satu transaksi lazimnya melibatkan beberapa permintaan sistem — termasuk imbasan MyKad, bacaan barangan dan pengesahan akhir. Peningkatan ini dijangka akan mempercepat proses transaksi dan meningkatkan keselesaan pengguna.

“Kementerian Kewangan menghargai sambutan menggalakkan daripada para penerima. Maklum balas orang ramai akan terus menjadi rujukan penting dalam usaha menambah baik sistem agar lebih cekap dan mesra pengguna,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOF, kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah hingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara. -BERNAMA

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN