KUALA LUMPUR, 2 SEPTEMBER – Tiada sebarang kompromi berhubung salah laku yang boleh menjejaskan reputasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keyakinan rakyat terhadap angkatan pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu bukti komitmen ATM dalam memastikan integriti organisasi terpelihara selain mengelakkan sebarang prejudis atau hukuman yang mendahului penghakiman.
“Buat masa sekarang, ATM telah mengambil tindakan menggantung tugas kesemua pegawai terlibat untuk memberi ruang kepada penyiasatan yang lebih telus dan bebas.
"ATM juga sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan”, beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara, hari ini.
Tegasnya, penggantungan itu tidak menjejaskan keupayaan operasi dan fungsi utama ATM, termasuk aspek keselamatan negara serta perisikan.
“Hal ini kerana organisasi perisikan ATM mempunyai sistem pengasingan maklumat atau compartmentalisation of information dan ia bermakna pangkalan data dan maklumat strategik diasingkan secara terancang bagi mencegah berlakunya kebocoran maklumat”, katanya.
Beliau memperincikan kes penahanan lima orang pegawai kanan ATM oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan membocorkan maklumat operasi kepada kumpulan penyeludup baru-baru ini.