BETONG, 2 September - Dua wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Pan Borneo berhampiran Rumah Panjang Melayu Ulu, petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Sarawak, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba Betong dikerahkan ke lokasi, selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.58 petang.
Setibanya di lokasi, mangsa lelaki berusia lingkungan 40-an didapati cedera parah dan tersepit di bahagian pemandu. Manakala dua wanita berusia antara 20-an hingga 40-an tidak sedarkan diri di bahagian penumpang.
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 7.15 malam. Dua wanita disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia, sebelum diserahkan kepada pihak polis. Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi.