fb fb fb fb fb

RUU Anti Lompat Parti diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Dewan Rakyat mencipta sejarah hari ini apabila meluluskan Pindaan Perlembagaan berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti setelah mendapat sokongan majoriti lebih dua per tiga.

Menerusi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu seramai 209 ahli dewan bersetuju.

Keputusan berkenaan diumumkan Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

"Ahli Yang Berhormat, ini keputusan ... syabas kepada semua Ahli Yang Berhormat kerana mencipta sejarah hari ini.

"Undi ahli yang bersetuju 209, manakala 11 ahli tidak hadir, maka lebih 2/3 majoriti bersetuju," kata Speaker Dewan Rakyat di sini hari ini.

RUU berkenaan dibentangkan bacaan kali kedua semalam oleh Perdana Menteri dan disusuli sesi perbahasan yang berlangsung sehingga hari ini.

Seramai 54 ahli parlimen telah mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

Pindaan mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu antaranya menyebut seseorang Ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya, jika bertukar parti.

Bacaan kedua rang undang-undang itu telah dibaca, dibentang dan dibahaskan semalam di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kelulusan yang diperoleh oleh Dewan Rakyat tersebut merupakan langkah pertama.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada 54 orang Ahli Parlimen yang menyertai sesi perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pindaan dalam jawatankuasa.

“Segala cadangan dan pandangan oleh Ahli Parlimen amat dihargai dan akan diberi perhatian sewajarnya,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan.

RUU berkenaan menetapkan seseorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya sekiranya wakil rakyat itu ‘lompat parti’.

Bagaimanapun seseorang Ahli Parlimen tidak kehilangan kerusinya jika wakil rakyat tersebut dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

RUU itu juga memansuhkan larangan bertanding selama lima tahun terhadap mereka yang meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Media Baharu