KUALA LUMPUR, 28 Julai - Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen mengesyorkan supaya penguatkuasaan larangan merokok kepada individu yang lahir pada 2007 dan ke atas atau generasi penamat (GEG), ditangguhkan selama tiga tahun.
Larangan itu termaktub dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat, semalam.
Jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya individu yang melakukan kesalahan seperti digariskan dalam RUU itu, khususnya remaja berusia di bawah 18 tahun, tidak dikenakan hukuman penjara.
(Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen)
"Fokus utama nombor satu adalah untuk menganalisis dan melihat pematuhan terhadap keberkesanan akta ini dalam menangani isu rokok dan juga bagaimana ia berkesan untuk menurunkan insiden atau preveliance rokok dalam komuniti kita," katanya semasa sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Jawatankuasa tersebut juga menggesa kerajaan untuk mengukuhkan penguatkuasaan terhadap penjualan rokok yang tidak sah jika mahu melihat kejayaan pelaksanaan GEG.
Turut dicadangkan, kaedah pengurangan kemudaratan sebagai alternatif untuk berhenti merokok. Pihaknya mengesyorkan supaya memasukkan satu klausa penilaian mandatori ke dalam akta itu dan kemudian dipersetujui di Parlimen.
Alternatif dicadangkan ialah mengadakan khidmat komuniti dan sesi kaunseling wajib bagi mereka yang melakukan kesalahan, manakala kompaun dikenakan harus munasabah dan satu garis panduan perlu diberikan terutamanya pesalah kali pertama.
“Jawatankuasa mengesyorkan terapi gantian nikotin (NRT) dipasarkan secara terbuka di kaunter dan mudah didapati dan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada cukai yang dikutip daripada industri vape mesti diperuntukkan kepada program mQuit,” katanya.