fb fb fb fb fb

Hasil tangkapan laut berkurangan 40% dalam tempoh dua bulan

(Jumlah tangkapan hasil laut didapati berkurangan 40% sepanjang tempoh dua bulan kebelakangan ini)

ARAU, 28 Julai - Jumlah tangkapan hasil laut didapati berkurangan 40% sepanjang tempoh dua bulan kebelakangan ini iaitu bermula Jun lalu berbanding tempoh Januari hingga Mei.

Tinjauan Berita RTM di Jeti Pendaratan Hasil Laut Kuala Sungai Baru mendapati jumlah hasil laut yang didaratkan hanya sekitar 600 kilogram berbanding lebih 1 tan metrik setiap hari.

Menurut Exco Negeri, Nurulhisham Yaakob, kebiasaannya hampir 80 nelayan akan turun ke laut dan mendaratkan hasil laut diperolehi di Jeti Pendaratan Hasil Laut Kuala Sungai Baru, namun kini hanya 30 hingga 40 nelayan sahaja yang berbuat demikian.

Antara faktor berlakunya kekurangan hasil laut disebabkan kekurangan kawasan pembiakan, keadaan cuaca yang tidak menentu serta pencerobohan nelayan luar terutamanya oleh bot tangguk siput kelas A.

Bot kelas A yang beroperasi secara haram tersebut dikesan melakukan pencerobohan dengan melakukan tangkapan melebihi kawasan ditetapkan iaitu sehingga 2 batu nautika dari pantai berbanding 6 batu nautika yang ditetapkan.


(Jumlah hasil laut yang didaratkan hanya sekitar 600 kilogram berbanding lebih 1 tan metrik setiap hari
di Jeti Pendaratan Hasil Laut Kuala Sungai Baru, Arau, Perlis)

"Bagi saya kan, kita hendak pihak nelayan dan lKIM, Perikanan cuba tinjau balik lah apa cara yang boleh membantu peningkatan hasil penangkapan nelayan-nelayan kan. apa punca-punca yang boleh menyebabkan hasil berkurangan," kata beliau ketika meninjau operasi pendaratan hasil laut di Jeti Nelayan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, di sini.

Bagi peraih ikan, kekurangan pendaratan ikan yang berlaku menjejas sumber pendapatan khususnya dikalangan nelayan bot kelas A.

"Memang terjejaslah, tinggal dalam 40 ke bawah, 40 biji ke bawah lah bot-bot kelas A ini kerana tak langkahlah sampai 50-60, jadi pendapatan mereka terjejas, jadi minyak, kos minyak, keluar depa (mereka) tak boleh hasil lah, dari segi harga kita tengok pasaran," kata peraih ikan, Mohd Syukor Chin.

Berikutan kekurangan bekalan hasil laut tersebut juga, peraih terpaksa mendapatkan bekalan hasil laut dari nelayan di Langkawi bagi memenuhi permintaan orang ramai.

Media Baharu