fb fb fb fb fb

RUU Anti-Lompat Parti dibentang dalam sidang khas lain

KUALA LUMPUR, 7 April - Mesyuarat Khas Parlimen mencapai kata sepakat bahawa Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti-Lompat Parti akan dibentang, dibahas dan diluluskan, dalam satu lagi sidang khas Parlimen yang akan ditentukan kelak.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, bagaimanapun, sidang khas Parlimen yang dijadualkan pada 11 dan 12 April ini akan diteruskan seperti dirancang untuk membentang dan membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

Komitmen itu disuarakan dalam kenyataan bersama Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang diadakan pagi tadi.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk satu lagi sidang khas Parlimen diadakan untuk membentang, membahas dan meluluskan undang-undang berkaitan dalam masa terdekat, yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, kedua-dua pihak menyatakan komitment akan memberi sokongan bagi membolehkan rang undang-undang itu mendapat majoriti dua pertiga dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April ini.

(Mesyuarat Khas Parlimen bersetuju menangguhkan RUU Anti-Lompat Parti
pada satu sidang khas lain/FOTO JPM)

Mesyuarat itu turut dihadiri beberapa wakil kerajaan dan blok pembangkang antaranya Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi sokongan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan, melibatkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10, bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

“Draf awal akta tersebut akan diedarkan untuk penelitian ahli Jawatankuasa Pemandu Tranformasi dan Kestabilan Politik sebelum sidang khas Parlimen pada 11 April,” menurut kenyataan itu.

Semalam, akhbar melaporkan pembentangan rang undang-undang itu ditangguhkan sekali lagi selepas mesyuarat Kabinet semalam, mengkehendaki supaya kajian terperinci dijalankan terhadap definisi 'lompat parti'.

Wan Junaidi dilaporkan mengesahkan mengenai penangguhan itu.

Bagaimanapun, rang undang-undang itu tidak dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Mac lepas bagi membolehkan pandangan serta input semua pihak terlibat diperoleh dan semua sesi libat urus selesai.

Media Baharu