fb fb fb fb fb

Kos haji dijangka meningkat lebih RM25,000 tahun ini

KUALA LUMPUR , 7 April - Kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini dijangka meningkat kepada lebih RM25,000.

Lembaga Tabung Haji (TH) berkata ia susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

TH dalam satu kenyataan memaklumkan kos berkenaan merupakan peningkatan 12% berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019.

“Peningkatan 12% ini mengambil kira kenaikan cukai tambah nilai (VAT) daripada 5% kepada 15% dan beberapa caj perkhidmatan tambahan lain.

“Ini tidak mengambil kira pelbagai peningkatan kos dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan pada tahun ini," menurut kenyataan tersebut, hari ini.


(Foto fail)

Kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menunaikan ibadat berkenaan seperti penerbangan dan penginapan, yang merangkumi kira-kira 70% daripada kos keseluruhan.

"Kos lain antaranya termasuk sajian makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina, serta perkhidmatan Mutawif selama 40 hingga 45 hari.

"Hampir kesemua perkhidmatan ini disediakan di Arab Saudi dan terkesan dengan kenaikan VAT serta kadar inflasi di sana," menurut kenyataan itu.

TH turut menanggung sepenuhnya kos tidak langsung yang mencecah RM60 juta setiap tahun meliputi kos bagi kursus persediaan haji, penerbitan buku panduan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan petugas haji.

Para bakal haji juga diingatkan agar membuat persediaan awal dari segi kesihatan serta perbelanjaan haji, meskipun ketika ini kerajaan Arab Saudi belum membuat pengumuman rasmi berkenaan ibadat haji bagi tahun ini.

Media Baharu