KUALA LUMPUR, 7 April - Cadangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN perlu melalui kajian yang terperinci dari sudut ilmiah dan asal usulnya.
Menurut Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Kamaruddin M.Said, ia berikutan perbezaan penggunaan istilah bahasa Melayu di negara ini dan negara jiran yang menimbulkan polemik di antara pengkaji bahasa kedua negara.
Sebagai contoh, katanya istilah bahasa Melayu di negara ini merujuk kepada penggunaan bahasa kebangsaan, manakala di Indonesia ia dipanggil bahasa Indonesia.
(Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Kamaruddin M.Said)
Bagi mereka bahasa melayu merupakan antara cabang bahasa Indonesia yang hanya digunakan di sesetengah daerah di negara tersebut.
"Semasa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia mengatakan bahasa Melayu perlu menjadi bahasa kedua ASEAN, saya fikir beliau bermaksud bahawa bahasa Melayu yang disebutkan itu ialah bahasa Nusantara yang termasuk di dalamnya bahasa Indonesia.
Tetapi di Indonesia, ungkapan bahasa Melayu itu bermaksud bahasa daerah Riau semata-mata. Jadi pada saya, kalau Perdana Menteri Malaysia menggunakan ungkapan bahasa Malaysia-Indonesia tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi bila disebutkan bahasa Melayu dan Indonesia, ia menjadi masalah.
Dalam pada itu, Ketua Asosiasi Profesor Indonesia, Prof. Dr. Ir. Ari Purbayanto, berpandangan lebih banyak perbincangan perlu dilakukan di antara wakil kedua negara bagi mencari penyelesaian berhubung perkara tersebut.
"Bagaimana kita meramu dalam satu kesatuan tapi dimunculkan itu, tidak mungkin kita buat peristilahan baharu, tidak kita sebut Indonesia, tidak kita sebut Malaysia dan tidak juga disebut sebagai bahasa Nusantara tapi mungkin itu yang boleh dirangkaikan menjadi satu kesatuan teman-teman di Brunei juga menerima, Laos, Thailand juga boleh menerima sehingga menjadi kuat atau kesatuan bahasa ASEAN", katanya dalam program Minda Profesor Negara secara dalam talian.