fb fb fb fb fb

Pengambilalihan syarikat konsesi tidak jejaskan mana-mana pihak - Fadillah

(Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika ditemu bual Berita RTM)

KUALA LUMPUR, 7 April - Tiada pihak yang akan terjejas susulan pengambilalihan empat konsesi Lebuh Raya oleh Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan pihaknya akan memastikan syarikat ALR menyerap semua kakitangan sedia ada yang sedang berkhidmat di keempat-empat syarikat konsesi terbabit.

Langkah tersebut bagi memastikan tidak akan ada pembuangan pekerja berlaku dan semua kakitangan dalam konsesi akan dikekalkan.

"Saya kira cadangan pengambilalihan ALR dalam konsesi ini adalah cadangan yang baik, boleh dipertimbangkan oleh kerajaan walaupun ianya satu cadangan perniagaan, ia tertakluk kepada pemegang saham Gamuda itu sendiri dan kita mengharap ia dapat diselesaikan.

"Sebab yang penting bagi kita ialah ia akan memberi kebaikan kepada pengguna lebuh raya itu sendiri sebab dia tahu tol ini takkan naik lagi untuk tempoh yang kemudian dari segi kualiti, standard yang ada sekarang ini akan dikekalkan dan tiada pembuangan kerja, sebab kita akan pastikan kakitangan yang ada dalam konsesi ini akan tetap dikekalkan," kata beliau selepas menjadi tetamu rakaman Program Inklusif terbitan RTM di Angkasapuri, di sini.

(Foto fail)

Fadillah berkata fokus rundingan turut mengambil kira beberapa isu termasuk kenaikan kos sara hidup rakyat, kesan kepada tanggungan kerajaan dan komitmen syarikat pinjaman.

Pihaknya komited dalam menyediakan kemudahan infrastruktur terbaik untuk rakyat dan bagi memastikan perhubungan lebuh raya yang lebih efektif.

Keempat-empat syarikat konsesi itu ialah Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara – Puchong (LDP).

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan juga tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi jaminan pembiayaan, kos penyenggaraan dan operasi bagi transaksi penstrukturan semula empat lebuh raya tersebut.

Malah kos pengambilalihan empat syarikat berkenaan adalah RM720 juta lebih rendah berbanding tawaran pengambilalihan dikemukakan Kementerian Kewangan kepada pihak syarikat yang terbabit pada tahun 2019.

"Kalau apa yang dicadangkan oleh kerajaan terdahulu, mereka nak mengambil alih lebuh raya ini, di mana kerajaan sendiri kena bayar RM6.2 billion dan akhirnya lebuh raya ini akan diambil alih oleh kerajaan, itu yang pertama, yang kedua kadar tol masih dikekalkan, cuma yang bezanya kerajaan kena bayar RM6.2 billion dan bila kerajaan kena bayar, kerajaan kena tanggung kos, risiko dan sebagainya, jadi yang sekarang ini, kerajaan tak keluar satu sen pun, semua ditanggung syarikat ALR itu sendiri," kata beliau.

Media Baharu