fb fb fb fb fb

Penangguhan pembentangan RUU Anti-Lompat Parti bukan tujuan lengahkan pelaksanaan

KUALA LUMPUR, 7 April - Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti-Lompat Parti memerlukan kajian dan penelitian mendalam sebelum dibentangkan di Parlimen.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang masalah berhubung tindakan lompat parti timbul pada masa akan datang.

Menurut beliau, kerajaan sememangnya komited untuk meneruskan penggubalan rang undang-undang berkenaan.

Pindaan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum kerajaan boleh memperkenal RUU Anti-Lompat Parti.

"Kita terus lakukan sebab ini kali pertama pindaan perlembagaan yang agak substantif dan fundamental yang perlu dirundingkan di antara pembangkang dan kerajaan.

"Setakat ini, kita sependapat dimana kedua-dua pihak kekal dengan pendirian seperti mana yang ada dalam memorandum persefahaman (MOU), salah satu perkara yang kita sepakat untuk laksana," katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, pengumuman penangguhan RUU tersebut dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jelas Annuar, tindakan itu bagi membolehkan kajian terperinci dilaksana terutama berkaitan definisi lompat parti.

Sidang khas Dewan Rakyat akan tetap diadakan pada Isnin ini bagi membentangkan pindaan perlembagaan untuk memudahkan pembentangan RUU Anti-Lompat Parti dilakukan.



(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa)

Media Baharu