fb fb fb fb fb

Rusia anggap ASEAN rakan sehaluan, komited perkukuh kerjasama serantau

Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Julai -Rusia menyifatkan ASEAN sebagai rakan yang boleh dipercayai dan sehaluan, khususnya dalam memperjuangkan kerjasama antarabangsa yang adil dan menyeluruh berpandukan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata, kedua-dua pihak berkongsi komitmen kukuh terhadap prinsip-prinsip asas piagam tersebut, termasuk dalam usaha memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau.

“Kedua-dua pihak berkongsi komitmen yang kukuh terhadap prinsip-prinsip asas yang digariskan dalam Piagam PBB, termasuk dalam memperkukuh keamanan serantau,” katanya.

Tambah beliau, Rusia secara konsisten menyokong peranan penting dan sentraliti ASEAN dalam hal ehwal serantau.

“Tahun hadapan akan menandakan ulang tahun ke-35 hubungan Rusia-ASEAN, yang kini telah mencapai satu tahap baharu dan lebih mendalam."

Lavrov turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara Rusia dan ASEAN telah banyak menyumbang kepada kestabilan di rantau Asia Pasifik, merangkumi pelbagai bidang seperti politik, keselamatan, ekonomi, tenaga, pertanian serta hubungan kemanusiaan yang terus menunjukkan perkembangan positif.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri ASEAN bersama Rusia, yang diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Lavrov turut memaklumkan bahawa Rusia dan ASEAN kini sedang merangka dokumen dasar baharu bagi tempoh 2026-2030, yang akan menggariskan matlamat semasa dan bidang kerjasama utama bagi memperkukuh hubungan strategik dua hala.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI