KUALA LUMPUR, 10 Julai -Strategi Ekonomi Asia Tenggara Australia 2040 menjadi asas utama Australia memacu perdagangan dan pelaburan bersama ASEAN.
Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata, strategi itu bukan sahaja membuka peluang pertumbuhan bersama, tetapi turut memperkukuh hubungan sedia ada dengan rantau ini.
“Rantau ini sudah pun menjadi rakan dagangan kedua terbesar kami sebagai satu blok, tetapi kami mahu lakukan lebih banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Pasca Menteri ASEAN bersama Australia, di sini
Wong turut menegaskan komitmen Australia terhadap sistem perdagangan berasaskan peraturan yang didokong Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organization, WTO).
Beliau menyifatkan pemerkasaan semula Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) sebagai bukti iltizam bersama mengukuhkan keterbukaan dan integrasi ekonomi serantau.
Dalam ucapannya, Wong memuji kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini bawah tema Inklusiviti dan Kelestarian.
Beliau menyatakan sokongan berterusan Australia terhadap pemusatan ASEAN sebagai pemacu keamanan dan kestabilan serantau.
"Australia kini giat melaksanakan lebih AUD$500 juta dalam inisiatif maritim, ekonomi dan pertukaran rakyat di bawah Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2024.
Selain itu, Australia turut menyumbang AUD$204 juta melalui Ausfor ASEAN Futures Initiative bagi menyokong keutamaan ASEAN dalam kerjasama strategik," katanya lagi.
Sementara itu, Wong mengalu-alukan keputusan ASEAN menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 pada Oktober 2025.
Australia akan membantu proses penyertaan itu dengan sumbangan AUD$11.8 juta bagi menyokong kemasukan Timor-Leste ke ASEAN dan WTO.
Mengakhiri ucapannya, Wong menegaskan bahawa hubungan ASEAN-Australia berteraskan kepercayaan, persahabatan dan prinsip bersama yang kekal teguh menghadapi cabaran masa depan.