GENEVA, 10 Julai -Syarikat teknologi gergasi tidak boleh mengatasi undang-undang mana-mana negara dan mesti menghormati kedaulatan serta peraturan yang ditetapkan.
Teguran tegas itu disuarakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dalam sesi Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Maklumat+20 (WSIS+20) yang berlangsung di Geneva, Switzerland.
Menurut beliau, setiap negara berdaulat mempunyai kerangka perundangan tersendiri yang wajib dipatuhi semua pihak, termasuk syarikat teknologi antarabangsa.
“Terdapat peraturan yang telah ditetapkan untuk keselamatan dan kestabilan. Syarikat teknologi besar mesti patuh kepada undang-undang kita,” tegas beliau.
Dalam sesi sama, Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa Malaysia kini menerajui usaha merangka Garis Panduan Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab bagi ASEAN.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen negara dalam memperkukuh keselamatan siber dan membina ekosistem digital yang sihat di rantau ini.
Garis panduan tersebut dibangunkan sebagai rujukan serantau dan mengandungi prinsip umum, amalan terbaik serta cadangan praktikal.
Ia bertujuan untuk meningkatkan kerjasama antara kerajaan, penyedia platform dan pengguna, menangani kandungan dalam talian yang berbahaya, di samping mempertahankan prinsip kebebasan bersuara.
Malaysia kini memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem digital ASEAN yang lebih selamat, inklusif dan bertanggungjawab, sejajar dengan matlamat negara untuk memperkukuh keselamatan siber serta melindungi hak pengguna di alam maya.