fb fb fb fb fb

RuralStar mudahkan kesalinghubungan komuniti

BERA, 14 Julai- Kerajaan tetap fokus dengan matlamat utama bagi mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar demi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai inisiatif dilaksana termasuk melancarkan RuralStar yang dibangunkan oleh Huawei Malaysia.

Jelas beliau, ia merupakan teknologi pemangkin yang boleh membantu Keluarga Malaysia meningkatkan taraf kehidupan seharian dan meningkatkan jejak digital mereka.

"RuralStar merupakan sebuah peranti infrastruktur rangkaian telekomunikasi teknologi terkini yang dapat menghubungkan kawasan yang bukan hanya terpencil tetapi juga tidak mempunyai infrastruktur komunikasi yang lengkap.

Melalui teknologi seperti RuralStar, kemahiran digital dalam setiap lapisan masyarakat dapat dipupuk dan disemai agar tenaga kerja kita pada masa hadapan mempunyai daya saing yang tinggi," katanya ketika berucap merasmikan Huawei RuralStar Pro dan penyerahan Huawei MatePad kepada pelajar daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap merasmikan Huawei RuralStar Pro dan penyerahan Huawei MatePad
kepada pelajar daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera)

Turut hadir Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Michael Yuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Datuk Idham Nawawi.

Pada majlis itu, sebanyak 200 tablet Huawei MatePad bersama kad sim Celcom diserahkan pelajar yang memerlukan di daerah Bera bagi memberi kemudahan terhadap proses pembelajaran mereka.

Ia merupakan antara inisiatif dilakukan bagi membawa arus kemajuan ke semua peringkat masyarakat bersesuaian dengan prinsip Keluarga Malaysia agar tiada sesiapa yang ketinggalan daripada menikmati kemakmuran bersama secara lebih inklusif dan saksama.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata pelancaran satelit MEASAT 3-d baru-baru ini diharapkan dapat meningkatkan keupayaan capaian internet di kawasan bandar dan luar bandar.

Selain itu, pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA pula bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk dan liputan 5G yang lebih luas serta jalur lebar tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025.

Media Baharu