fb fb fb fb fb

Hak prerogatif PM lantik TPM

PADANG TERAP, 14 Julai- Hak melantik mana-mana Ahli Parlimen bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah terletak pada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepenuhnya.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, hanya Perdana Menteri seorang sahaja yang boleh menentukan sama ada jawatan itu perlu segera diisi atau sebaliknya.

“Jawatan TPM itu hak prerogatif Perdana Menteri, hak beliau jadi biar beliau putuskan walau ada perjanjian bersama atau apa sekalipun.

Sama juga pilihan raya, hak Perdana Menteri juga, beliau ada laporan, tahu apa yang berlaku di persekitaran, di peringkat antarabangsa, ASEAN, jadi beliau boleh putuskan berdasarkan maklumat yang ada,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas PROSPEK Pedu di sini.

(Datuk Seri Mahdzir Khalid, Naib Presiden UMNO)

Beliau yang juga merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, hak prerogatif Perdana Menteri itu perlu dihormati oleh semua pihak termasuk parti politik yang membentuk kerajaan pusat ketika ini.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri membubarkan Parlimen jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berterusan mendesak lantikan jawatan TPM.

Mengulas mengenai keputusan yang bakal dibuat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkaitan permohonan UMNO meminda perlembagaan parti itu, Mahdzir berkata UMNO perlu menerima apa jua keputusan ROS itu nanti.

“Setakat ini kita tidak dapat lagi (keputusan) dan kita perlu tunggu keputusan, apabila keputusan keluar pada waktu itu kita terima keputusan apa yang diputuskan.

Ada dua (keputusan) sama ada lulus atau tidak lulus, itu sahaja, kalau tidak lulus pemilihan UMNO kena buat dahulu, selepas itu baru pilihan raya, kalau lulus mungkin boleh pilihan raya dahulu dan baru buat pemilihan,” jelasnya lagi.

Media Baharu